27 Mei 2020

Sudah tiba masanya TOLAK PH

BANGI : Sudah tiba masanya untuk rakyat menolak dan meminggirkan gabungan parti rasis Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Prof Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz.

Beliau membangkitkan perkara itu setelah keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuaan sering dijadikan bahan cabaran atau perdebatan.

 
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah, orang Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja dikritik dan dipersoalkan begitu hebat atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan.
 
“Malah, sejarah negara dibakul sampahkan dan ini menghiris hati dan perasaan pejuang kemerdekaan, pejuang Islam, pejuang menentang komunis, pejuang bangsa, pejuang bahasa dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Prof Badrulhisham mendakwa, PH ketika zaman pemerintahannya bukan sahaja tidak dapat memenuhi janji dalam manifesto, malah turut memungkiri dan mengingkari janji mereka.

“Rakyat digula-gulakan semasa PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dengan janji bulan dan bintang dalam manifesto. Tapi akhirnya rakyat yang menderita dan tidak terbela,” katanya.

Selain itu, Prof Badrulhisham turut menyifatkan PH adalah sebuah gabungan parti yang meletakkan kesalahan ke atas orang lain dalam pelbagai perkara, terutamanya kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, ketidakupayaan PH dalam menguruskan kewangan negara amat ketara apabila hutang semakin meningkat ditambah dengan penjualan pelbagai aset negara.

“Tetapi, masih lagi menyalahkan kerajaan terdahulu yang kononnya menyebabkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang teruk,” dakwanya lagi.

Beliau turut mendakwa, PH tiada kemampuan mentadbir sesebuah negara.

Katanya, meskipun dipimpin oleh seorang bekas Perdana Menteri, namun sebahagian menteri-menteri yang dilantik adalah tidak kompeten.

Dengan hanya berlatarbelakangkan kerjaya sebagai ahli politik dan kekurangan pengalaman mentadbir atau bekerja, ramai di kalangan menteri yang dilantik gagal berfungsi, dakwanya.

“Malah sesetengah ahli politik PH membuat musuh dengan penjawat awam, kemudian membuat tuduhan penjawat awam mensabotaj mereka.

“Bukan itu sahaja, ada ahli politik PH membuat cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam.

“Bayangkan kalau diikut saranan mereka itu, negara tidak akan dapat berdepan dengan wabak COVID-19 dengan efisien dan efektif sekarang ini, disebabkan kekurangan tenaga kerja terutama dalam bidang kesihatan,” katanya.

Lantaran itu, Prof Badrulhisham menggesa rakyat untuk tidak lagi memberi peluang kepada PH untuk menang dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Katanya, dalam masa 22 bulan pemerintahan PH, pemimpinnya bukanlah dari kalangan yang berintegriti dan berwibawa tetapi hanya menyusahkan rakyat dalam pelbagai perkara.

“Cukuplah rakyat memberi undi, dalam PRU-14 dan yang lepas-lepas, kepada gabungan PH ini yang tidak kompeten, bermain sentimen perkauman, asyik menyalahkan orang lain, mungkir janji dan gila kuasa,” katanya.

Jom Melanggan LihatKacaMata.com ! Masukkan Alamat Emel Di Bawah Dan Kami Hantar Berita Terkini di peti emel anda.

Delivered by FeedBurner

20 Mei 2020

Adakah benar Tun Mahathir bukan Pengerusi PPBM?

PUTRAJAYA, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), demikian menurut satu salinan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada parti itu.

Menurut kandungan surat kepada Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya bertarikh 5 Mei 2020, yang tular di media sosial hari ini, RoS mengambil maklum bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu melalui surat bertarikh 24 Feb 2020 yang berkuat kuasa serta-merta dan dikemukakan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sehubungan dengan peletakan jawatan Pengerusi tersebut, Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berhak memangku jawatan Pengerusi sehingga pemilihan diadakan selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan parti itu.”

Fasal 16.9 perlembagaan Bersatu menyebut: Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

Surat RoS itu turut menyatakan bahawa berdasarkan dokumen yang dikemukakan iaitu surat peletakan jawatan pengerusi, RoS mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu adalah sah, manakala pemangkuan jawatan itu oleh Muhyiddin juga sah dan masih berkuat kuasa sehingga diadakan pemilihan pengerusi baharu.

Unit Komunikasi Korporat RoS dalam mesej kepada pihak media mengesahkan kesahihan surat berkenan bagi menjawab surat daripada Bersatu.

Usaha Bernama mendapatkan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk penjelasan lanjut hal berkaitan setakat ini belum berhasil. 

Sumber : BERNAMA

18 Mei 2020

Muhyiddin ada majoriti 3 kerusi

Susunan tempat duduk untuk persidangan Dewan Rakyat hari ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti anggota parlimen.


Plan, oleh staf Parlimen, menunjukkan bahawa terdapat 114 anggota parlimen yang menyokong kerajaan semasa.

Ini bermaksud Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) berjaya mentadbir negara dengan majoriti tipis tiga undi.

Muhyiddin akan melakar sejarah sebagai PM yang dilantik dengan majoriti paling tipis selepas Dr Mahathir Mohamad (Bersatu-Langkawi) pada Mei 2018 (dengan majoriti 10 kerusi).

Senarai ahli parlimen kerajaan, disusun mengikut abjad mengikut parti, terdapat dalam jadual berikut.


Dengan itu, buat masa ini, persoalan apakah Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat tidak lagi perlu diperdebatkan.

Ujian sebenar akan timbul pada bulan Julai apabila Dewan Rakyat bersidang semula selama 25 hari, dengan membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Antara yang menarik tumpuan pada Julai nanti adalah usul tidak percaya yang akan dikemukakan oleh Mahathir terhadap Muhyiddin.

Harus dinyatakan meskipun kedua-dua mereka mewakili parti yang sama, Mahathir duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun kemungkinan untuk menyaksikan usul pembangkang dibentangkan adalah tipis, namun cabaran sebenar Muhyiddin adalah memastikan semua 114 anggota parlimen kerajaan berindak dalam hala yang sama.

Kegagalan mendapatkan undi bagi meluluskan sebarang rang undang-undang kerajaan akan memberi isyarat bahawa Muhyiddin tidak lagi menikmati sokongan majoriti.

Muhyiddin terpaksa bergantung pada hulubalangnya, Azmin Ali (Bersatu-Gombak) untuk memastikan kehadiran maksimum sebagai ketua whip kerajaan.

Menurut plan tempat duduk, bangku pembangkang akan terdiri daripada 107 ahli parlimen - Upko (1), Bersatu (5), Warisan (9), Amanah (11), PKR (39) dan DAP (42).

Tersepit di antara kedua bangku itu adalah Baru Bian (Bebas-Selangau).

Baru adalah antara ahli parlimen yang tidak tetap pendiriannya semasa "Langkah Sheraton” pada akhir Februari, awalnya menolak Pakatan Harapan tetapi kemudiannya bersetuju supaya gabungan itu menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Sebagai wakil rakyat Bebas, dia tidak terikat dengan mana-mana pihak dan kecenderungannya tidak dapat ditentukan.

Setakat ini, Baru menunjukkan minat terhadap Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti dikatakan mesra dengan Gabungan Parti Sarawak.

Ahli parlimen lain yang tidak tetap pendiriannya semasa "Langkah Sheraton” adalah Masir Kujat (PSB-Sri Aman), yang kini duduk di bangku pemerintah.

Sumber - MalaysiaKini

16 Mei 2020

Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) alami kerugian besar 82 peratus




KUALA LUMPUR : Tinjauan yang dilakukan oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) mendapati bahawa 82 peratus syarikat anggotanya di Malaysia telah melaporkan kerugian yang besar.


Ia berkata kira-kira satu pertiga responden mengalami kerugian lebih dari RM10 juta pada setiap dua minggu ketika sekatan terhadap aktiviti perniagaan dilaksanakan.

Kaji selidik itu yang dijalankan daripada 17 hingga 24 April 2020, juga menunjukkan sejumlah besar responden (16 peratus) kebanyakannya syarikat multinasional (MNC) telah melaporkan kerugian melebihi RM500 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

"Sebagai jalan penyelesaian jangka pendek untuk mengurangi impak akibat pandemik itu, majoriti responden telah mempertimbangkan untuk melakukan langkah-langkah penjimatan kos dan pelarasan bagi strategi perniagaan jangka panjang mereka, sambil merancang prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja semasa krisis.

"Walaupun menghadapi cabaran ini dan mencerminkan perspektif jangka panjang melibatkan syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) yang melabur di Malaysia, sebahagian besar majikan dapat mengelakkan pemberhentian pekerja atau melaksanakan cuti tanpa gaji yang wajib diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AMCHAM menjalankan Kajian Impak Perniagaan COVID-19 dan PKP komprehensif untuk lebih memahami bagaimana pandemik itu dan tindak balas dasar kerajaan telah mempengaruhi aktiviti perniagaan dan rancangan pelaburan ahli-ahlinya.

Ia berkata syarikat-syarikat global menilai semula rancangan pelaburan mereka sebagai tindak balas terhadap wabak tersebut, dan separuh daripada responden tinjauannya menjangkakan akan mengurangkan pelaburan mereka di Malaysia pada tahun 2020 dan 20 peratus lagi merasakan terlalu awal untuk memberi komen.

Syarikat-syarikat juga mengambil langkah untuk mengkaji semula strategi rantaian bekalan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan di masa depan dan AMCHAM melihat beberapa penyesuaian mungkin akan berlaku seperti pergerakan sumber atau perubahan terhadap operasi pengujian dan pemasangan, katanya.

Sebilangan besar responden menunjukkan bahawa mereka bekerja secara meluas dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menyokong operasi mereka di Malaysia dan sebab itu perniagaan tempatan ini juga mungkin mengalami kerugian yang besar jika penyesuaian terhadap rantaian bekalan perlu dilakukan.

Selain itu, syarikat-syarikat AS menekankan perlu ada ketelusan mengenai dasar semasa yang berkaitan dengan PKP agar kegiatan perniagaan di pelbagai sektor dapat disambung semula kembali dengan cepat dengan mengutamakan keselamatan.

“Pada masa yang unik ketika ini juga membuka pintu peluang dan beberapa minggu lepas telah menunjukkan kekuatan jalinan kerjasama. AMCHAM berharap dapat meneruskan penglibatan aktif kami dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian yang pragmatik.

"Melalui perkongsian yang kukuh antara sektor awam dan swasta Malaysia, antarabangsa dan tempatan, kami dapat memastikan bahawa ekonomi dinamik Malaysia terbukti berdaya tahan pada masa-masa yang mencabar ini dan berada dalam kedudukan yang kuat untuk membawa kekayaan baharu," kata Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Siobhan Das.

Keahlian AMCHAM terdiri terutamanya daripada syarikat multinasional AS yang besar. Sebanyak 114 responden mengambil bahagian dalam tinjauan semasa fasa ketiga PKP dan hampir separuh daripada responden berasaskan kepada industri elektrik dan elektronik dan semikonduktor.

Tinjauan ini merangkumi 43 pertanyaan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kesan COVID-19, serta pelaksanaan PKP kepada perniagaan masing-masing.

Ini termasuk isu-isu yang berkaitan dengan operasi dan rantaian bekalan, sumber manusia dan unjuran pelaburan.

Sumber - BERNAMA

15 Mei 2020

5.5 Peratus Kadar Pengangguran Dijangka Akan Berlaku

Kadar pengangguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini berikutan impak penularan pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun langkah kerajaan membuka sektor ekonomi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selain menyediakan pakej rangsangan ekonomi akan membantu pekerja dan isi rumah menghadapi situasi kritikal berikutan wabak itu.

“Jika meneliti pengumuman kerajaan, kita mahukan penerusan ekonomi berjalan dengan cepat. Ini kerana, lebih cepat ekonomi kita bergerak, maka akan ada pergerakan transaksi kewangan sekali gus membolehkan ekonomi kita cepat pulih.



“Maka, pekerjaan akan dapat diwujudkan dan kadar pengangguran dapat dikawal. Oleh itu, kita menjangkakan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini,” katanya dalam sidang media langsung secara dalam talian hari ini.

Berdasarkan laporan Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia Mac 2020 yang dikeluarkan DOSM sebelum ini, jumlah penganggur meningkat 17.1 peratus kepada 610.5 ribu dengan kadar 3.9 peratus, daripada angka pada bulan sama 2019.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, status permintaan dan penawaran buruh pada suku pertama 2020 memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

“Namun, perlu diingatkan bahawa kerajaan juga telah mengambil langkah untuk mengimbangi keperluan pekerjaan termasuk bagi lepasan pengajian tinggi baharu berjumlah di antara 300,000 dengan 350,000 setahun,” katanya.

Sidang media hari ini diadakan sempena penerbitan laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga Suku Tahunan yang dilaksanakan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta meliputi aktiviti utama -- pertanian; perlombongan dan pengkuarian; pembuatan; pembinaan serta perkhidmatan.

- Bernama

Kebenaran 20 minit sahaja, syarat solat Jumaat dan Aidilfitri di Perak

KEBENARAN solat Jumaat di seluruh Perak bermula esok, 15 Mei 2020, begitu juga solat sunat Aifilfitri di masjid serta surau pada 1 Syawal nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bagaimanapun menurutnya, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu iaitu bilangan jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang.


"Pengerusi Jawatankuasa Kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah terbatas dalam kalangan ahli kariah dan pegawai masjid sahaja, adalah tidak digalakkan warga yang berusia lebih daripada 60 tahun untuk hadir berjemaah.

"Setiap jemaah juga hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, setiap jemaah dikehendaki mengambil wuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah masing-masing.

Katanya, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir.

"Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir," katanya.

Shahrul Azam berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut menetapkan kebenaran menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah dan takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar masjid dan surau.

Jelasnya, tempoh masa bermula azan, khutbah hingga selesai solat Jumaat, begitu juga tempoh mula bertakbir hingga selesai khutbah solat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit.

"Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Penyusunan saf dan kedudukan dalam masjid atau surau diri Jumaat hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan para jemaah hendaklah bersurai tanpa perlu mengadakan sebarang jamuan makan minum terutama selepas selesai urusan solat sunat Aidilfitri," katanya.

Beliau menegaskan, masjid dan surau diri Jumaat masih tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya kebenaran itu hanya diberikan kepada ahli Jawatankuasa Kariah dan pegawai masjid dan surau.

Menurutnya, mana-mana masjid dan surau diri Jumaat yang tidak berupaya atau gagal memenuhi kesemua syarat dan panduan ditetapkan tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri berkenaan.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya.- sinarharian


13 Mei 2020

Arab Saudi laksana perintah berkurung sempena Aidilfitri

Arab Saudi pada Selasa mengumumkan perintah berkurung 24 jam di seluruh negara akan dilaksana bermula 23 hingga 27 Mei sempena Aidilfitri, lapor agensi berita Arab Saudi (SPA).



Kementerian Dalam Negeri menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya arahan terbaru itu untuk mencegah penularan Covid-19, termasuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti menjaga jarak sosial dan tidak berhimpun melebihi lima orang atau lebih.

Dalam tempoh itu, pergerakan bebas hanya dibenarkan bermula 9 pagi hingga 5 petang di semua bandar dan wilayah Arab Saudi - kecuali di Mekah.

Perintah berkurung 24 jam masih dilaksana di Mekah.


Kegiatan komersial dan ekonomi juga dibenarkan dalam tempoh itu.

- Bernama

12 Mei 2020

Semua hormat Sultan Ibrahim, tak ada perkara luar biasa akan jadi di DUN Johor

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat yakin persidangan Khamis ini akan berjalan tanpa kejadian "luar biasa" kerana semua Adun negeri itu menghormati Sultan Ibrahim Sultan Ismail.

Sidang DUN di Melaka hari ini tegang apabila menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menangguhkan persidangan tanpa pembangkang untuk melantik speaker baru - langkah yang dilihat dapat dilakukan di Johor.

Suhaizan bagaimanapun berkata, tidak seperti di Melaka, kerajaan negeri Johor tidak mengemukakan usul terlebih dahulu untuk menggantikannya sebagai speaker, dan sebaliknya meminta persidangan ditamatkan setelah Sultan Ibrahim membuat perasmian.

Anggota dewan diizinkan untuk membuat rundingan, bergantung kepada persetujuan speaker, tetapi Suhaizan berkata ia "tidak molek" dilakukan semasa Sultan berada di dewan.


"Jadi (rundingan) dapat dibuat, tetapi tidak semasa upacara perasmian, hanya semasa persidangan (sesi debat).

"Kerana hari Khamis hanya akan mengadakan upacara perasmian, maka tidak molek untuk mengemukakan usul di depan tuanku.

"Saya percaya bahawa kedua-dua pihak menghormati sultan sebagai ketua negari, jadi tidak ada yang luar biasa akan terjadi pada hari Khamis," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun sidang Khamis ini secara rasmi sepatutnya berakhir setelah ucapan Sultan Ibrahim, PN dan PH dispekulasikan menyerang satu sama lain.

Sumber Bersatu mendakwa bahawa PN mengumpulkan SD untuk menyokong usaha untuk menyingkirkan Suhaizan, yang merupakan pemimpin parti Amanah.

Sementara itu, dipercayai bahawa PH merancang untuk membuat usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.

Suhaizan sebelum ini mengatakan bahawa dia akan memberi pertimbangan sekiranya kedua-dua pihak meminta agar persidangan Khamis dilanjutkan hingga ke petang.

Namun, walaupun dia tidak mengizinkan, PN mungkin melakukan apa yang dilakukan oleh rakan sejawat mereka di Melaka.

Sekiranya PN bersidang tanpa speaker, Perintah Tetap 4 (1) (b) DUN Johor membenarkan menteri besar mencalonkan salah seorang anggota yang hadir untuk mempengerusikan persidangan.

Ini akan memungkinkan mereka mendesak usul untuk menyingkirkan Suhaizan sebagai speaker, tetapi tidak segera menggantikannya.

Ini kerana Perintah Tetap Dewan Johor mengkehendaki calon speaker dinamakan 24 jam sebelum mereka dapat dipilih.

Namun, ada keraguan yang dilontarkan oleh pihak tertentu mengenai apakah Hasni mendapat sokongan penuh dari para anggota dewan Bersatu untuk menyingkirkan Suhaizan.

Johor Bersatu berselisih dengan Umno susulan isu pelantikan politik.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, telah campur tangan minggu lalu dan mendesak kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan perselisihan mereka, tetapi tampaknya masih ada ketegangan yang berlanjutan.

Bersatu juga terpecah antara mereka yang setia kepada Muhyiddin, dan mereka yang berpihak kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding PH yang mempunyai 27 kerusi. Sekiranya satu Adun dari PN lompat parti, DUN akan tergantung.

10 Mei 2020

Kesian Makcik Kiah niaga goreng pisang tak layak dapat BPN

Peniaga yang mengemukakan rayuan untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mendapat kejutan mengecewakan pagi ini apabila kelayakan mereka dibatalkan kerana mereka atau pasangan mereka mempunyai perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM).

Sebagai gantinya, mereka diberitahu untuk memohon Geran Khas Prihatin (GKS), bantuan sekali sahaja berjumlah RM3,000 untuk perniagaan skala mikro yang tidak perlu dibayar balik.

Bantuan BPN adalah bagi isi rumah golongan B40 yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan keseluruhannya berjumlah RM1,600, dengan pembayaran berperingkat dalam dua fasa.

Peguam dan Setiausaha Politik MP Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata BPN bertujuan meneruskan kelangsungan hidup manakala GKS pula bantuan untuk perniagaan.


Katanya, permohonan GKS cuma dibuka pada bulan ini.

"Bayangkan, mohon BPN April. Mei dapat tahu tidak layak. Kena mohon GKS pula, itupun kalau layak. Jun baru boleh dapat duit. Habis dua ke tiga bulan sebelum itu macam mana pula?

"Yang paling menyedihkan adalah semua ini langsung tidak dinyatakan semasa pengumuman dibuat. Dikhabarkan tiada siapa yang akan ketinggalan," katanya pada hantaran di Facebook.

Syahredzan berkongsi pesanan para peniaga, termasuk penjaja pasar malam, dan mereka yang baru memulakan perniagaan tanpa membuat untung yang terjejas akibat pembatalan kelayakan menerima BPN.

Malaysiakini difahamkan mereka yang terjejas termasuk mereka yang telah mendaftar untuk menjadi pemilik tunggal atau perusahaan dengan SSM.

Syahredzan, turut menggunakan nama timangan watak rekaan Makcik Kiah yang disebut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

Peraturan baru itu, katanya kini menyebabkan kehidupan Makcik Kiah terjejas.

"Ironinya, kalau Makcik Kiah daftar perniagaan goreng pisang dia dengan SSM, Mak Cik Kiah pun tidak dapat dapat BPN. 

"Kesian Mak Cik Kiah," katanya sambil membandingkan perbezaan nasib antara peniaga ini dengan MP Perikatan Nasional yang dilantik menerajui GLC.

"Murah rezeki mereka (dilantik ke GLC)," jelas Syahredzan.

7 Mei 2020

SOP solat jemaah di masjid, surau bincang esok

CADANGAN prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid dan surau akan dibincangkan sekali lagi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), esok.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, cadangan itu sudah diteliti Kabinet dalam mesyuarat semalam dan melakukan beberapa penambahbaikan.

"Kabinet memutuskan kertas cadangan SOP dibawa sekali lagi ke mesyuarat jawatankuasa muzakarah MKI yang membabitkan pakar dalam bidang perubatan dan bidang tertentu, juga yang paling penting adalah cendekiawan agama.

"Ia akan membincangkan keperluan dan meneliti lebih terperinci, sebelum kerajaan mengumumkan untuk membenarkan kita membuka masjid dan surau," katanya ketika menghadiri Program Inspirasi Musaadah Ramadan YaPEIM di Sungai Petani, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, kemudian hasil perbincangan itu akan diteliti pula Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum diputuskan kerajaan.

"Sekiranya kerajaan melihat bahawa kita sudah berada pada tahap yang amat sesuai untuk melaksanakan SOP amalan di masjid dan surau, barangkali kita ada kesempatan untuk beribadat di situ pada Ramadan ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan memberi jaminan akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah haji berhubung kebenaran untuk menunaikan ibadat itu tahun ini, susulan pandemik Covid-19.
Menurutnya, sehingga kini lebih 16,000 bakal jemaah daripada kira-kira 30,000 kuota yang peruntukkan sudah menerima surat tawaran ke tanah suci.

"Sehingga hari ini kita belum dapat apa-apa kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran mengerjakan haji," katanya yang meminta Lembaga Tabung Haji memaklumkan lebih awal sebarang keputusan supaya jemaah boleh membuat persiapan.

6 Mei 2020

PKPB: Lebih 17,000 premis diperiksa

Klik Di Sini <<< eBazar Ramadhan LKMB >>> Klik Di Sini | Berminat letak produk anda di LKMB, Sila Whatsapp 019-7383431 | Katakan "Saya Nak Letak Iklan Saya!". Selamat Berbuka Puasa.
PUTRAJAYA: Hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam menyaksikan 17,728 premis diperiksa pihak berkuasa dan dikenakan tindakan nasihat.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan bertindak Operasi Pematuhan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan memeriksa 1,057 pasar raya, 1,743 restoran dan 598 kilang.

Beliau berkata, pemeriksaan juga dilakukan di 325 terminal pengangkutan darat, 37 terminal pengangkutan air dan 12 terminal pengangkutan udara.

"Turut diperiksa adalah 546 pasar awam, 927 tempat ibadat, 298 tempat riadah dan 180 tapak binaan," katanya pada sidang sidang media harian selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.

5 Mei 2020

Tiada had masa untuk keluar

Klik Di Sini <<< eBazar Ramadhan LKMB >>> Klik Di Sini | Berminat letak produk anda di LKMB, Sila Whatsapp 019-7383431 | Katakan "Saya Nak Letak Iklan Saya!". Selamat Berbuka Puasa.
Tiada lagi larangan perjalanan selepas pukul 10 malam atau pergerakan rentas daerah di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (kluster pertahanan) Ismail Sabri Yaakob.

"Dari segi pergerakan sudah pun dibebaskan (untuk perjalanan) antara daerah (dan) tiada had dari segi jangka masa untuk keluar.

"Dalam peraturan baru, tiada (had seperti sebelum ini)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berkenaan perkara itu selepas PKPB mula berkuat kuasa semalam.

Berhubung perjalanan rentas negeri pula, beliau berkata larangan masih terpakai tetapi perjalanan boleh dibuat antara 7 hingga 10 Mei ini dengan permohonan dibuat kepada pihak berkuasa.

Berkenaan perjalanan rentas negeri menggunakan pengangkutan awam, Ismail berkata polis masih meneliti perkara itu.

"Polis sedang buat kajian, misalnya berkenaan berapa jumlah (bas) yang diperlukan.

"Ini kerana pergerakan antara negeri masih tak dibenarkan, oleh itu kenderaan awam seperti bas ekspres belum (beroperasi)," katanya yang juga menteri pertahanan.

Menurut Seksyen 4(1) warta persekutuan 3 Mei yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, orang ramai boleh melakukan perjalanan dalam "kawasan tempatan jangkitan" kecuali di kawasan PKP diperketatkan, melainkan mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.

Pewartaan itu menandakan permulaan pelonggaran PKP bagi pembukaan semula ekonomi.

Ismail berkata polis kini akan mula memberi tumpuan kepada penguatkuasaan syarat dan peraturan yang ditetapkan kepada industri yang kembali beroperasi.

Peraturan itu antara lain pelaksanaan pembersihan di premis, ujian saringan terhadap pekerja asing dan pengamalan penjarakan sosial.

4 Mei 2020

PKPB dilaksana berdasarkan pertimbangan menang-menang

Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah bersandarkan dua pertimbangan (situasi menang-menang) yang menjadi aspek utama, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.


Klik Di Sini <<< eBazar Ramadhan LKMB >>> Klik Di Sini | Berminat letak produk anda di LKMB, Sila Whatsapp 019-7383431 | Katakan "Saya Nak Letak Iklan Saya!". Selamat Berbuka Puasa.
Dalam kenyataan malam tadi, beliau berkata aspek itu ialah bagi mencari perimbangan antara menjaga kepentingan rakyat dan melindungi kepentingan negara secara menyeluruh.

“Sesuatu keputusan penting begini juga dibuat berlandaskan konsensus badan tertinggi negara iaitu Kabinet Persekutuan, melalui konsensus keputusan bersama dan dicapai kebiasaannya berpandukan dan mengambil kira pandangan profesional, pelbagai agensi berwajib.

"Dalam kes menangani pandemik COVID-19 ini, lazimnya dipandu Kementerian Kesihatan selaku ‘regulator’ kesihatan negara dan keputusan juga mengambil kira 'input' agensi pertubuhan kesihatan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata Ahli Parlimen Kudat itu.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB, dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai esok, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

3 Mei 2020

Patuhi SOP jika risau dengan PKPB - Dr Noor Azmi

Klik Di Sini <<< eBazar Ramadhan LKMB >>> Klik Di Sini | Berminat letak produk anda di LKMB, Sila Whatsapp 019-7383431 | Katakan "Saya Nak Letak Iklan Saya!". Selamat Berbuka Puasa.
BAGAN SERAI: Kebimbangan dan kerisauan rakyat terhadap risiko penularan wabak COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenar beroperasi Isnin ini adalah sesuatu yang positif.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata keadaan itu jelas menunjukkan rakyat prihatin dengan situasi semasa dan sekali gus akan memastikan mereka mengambil langkah-langkah wajar untuk mengelakkan jangkitan.

"Apabila rakyat bimbang mereka sewajarnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan, misalnya kalau makan di kedai makan tidak boleh ramai dan jaga penjarakan (sosial)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan juadah berbuka puasa sempena Iftar Ramadan Drive True di sini, pada Sabtu.

Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata pengumuman mengenai PKPB yang dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan menjamin kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

"Kerajaan membuat keputusan secara kolektif dalam Jemaah Menteri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyelamatkan ekonomi negara dan menjaga kesihatan rakyat," katanya.

12 TEMPAT HEBAT DI BUMI YANG MENYERUPAI LANDSKAP DARATAN YANG MENAKJUBKAN

Alam semula jadi telah mencipta suatu pemandangan yang bagaikan karya agung sehingga nampak sungguh luar biasa seolah-olah berada di planet asing. Lihat dua belas gambar luar biasa dan menakjubkan di seluruh dunia yang membuatkan anda berasa seperti anda sedang berada di planet lain.

1. EMPANGAN NEW CROTON

Empangan ini hanya terletak kira-kira 22 batu dari New York, namun hanya sedikit yang pernah melihat keajaiban pemandangan empangan ini dengan air yang mengalir turun dari tebingnya yang kelihatan seperti kabus. Ia dibuka pada tahun 1906 dan merupakan bekalan air utama New York.

2. GEISER FLY, NEVADA

Dengan keindahan warna pelanginya yang menawan, geiser yang indah ini tampak tidak ubah seperti prop filem fiksyen. Ianya tidak pernah disentuh melainkan untuk kerja-kerja menggerudi dan memasukkan pam air.

3. SUNGAI LIMA WARNA, COLOMBIA

Sungai ini juga digelar Pelangi Cecair kerana warna-warnanya yang cantik dan terang. Warna merah, hijau, biru, kuning dan juga hitam dihasilkan oleh spesis tumbuhan unik yang tumbuh di kedua-dua belah sungai.


4. PAMUKKALE, TURKI

Terletak di bahagian tengah Turki, tempat ajaib ini adalah destinasi pelancongan yang paling popular di negara ini. Kolam Pamukkale ini merupakan kolam teres yang menakjubkan serta sangat dikenali sebagai kolam terma terapeutik. Walau bagaimanapun, kerajaan Turki kini sedang berusaha keras bagi menyelamatkan keajaiban alam semula jadi ini disebabkan oleh kemasukan pelancong yang berlebihan.


5. BEACHY HEAD CHALK CLIFF, ENGLAND

Tebing batu kapur semula jadi yang sangat indah ini dikenali kerana bentuk dan pemandangannya yang seolah-olah terapung di awan. Ia merupakan salah satu tempat paling terkenal di England untuk jurugambar dan pelancong.


6. LAKE SØRVÁGSVATN, PULAU FAROE, DENMARK

Tasik gunung berapi yang menakjubkan ini terletak di atas permukaan laut, tasik Sørvágsvatn tercipta disebabkan oleh pembentukan geologi yang unik dan kelihatan pulau itu seolah-olah seperti tempat yang digambarkan dalam kisah-kisah dongeng.


7. AIR TERJUN DASAR LAUT, LE MORNE BRABANT, MAURITIUS

Pelancong di Mauritius selalunya akan menyewa helikopter bagi menyaksikan air terjun yang sangat menakjubkan ini di pantai pulau itu. Arus yang mengalir ke dalam jurang yang sangat dalam mencipta ilusi ajaib air yang mengalir ke kedalaman.


8. GUA AIS BERDEKATAN GUNUNG BERAPI MUTNOVSKY, RUSIA

Gabungan ais beku dan asas gunung berapi hangat telah mencipta satu lapisan menakjubkan yang menyerupai gelombang lautan. Berubah kepada warna biru permata ketika cahaya matahari memancar pada ais, gua ini sememangnya kelihatan seperti landskap dunia makhluk asing.


9. GUNUNG BERAPI DALLOL, ETIOPIA

Lekukan Danakil adalah hasil daripada pembentukan Gunung Berapi Dallol berjuta-juta tahun lalu. Kandungan sulfur dan andesit yang terlalu banyak di dalam tanah telah mencipta landskap yang berwarna-warni dan berbau.


10. TASIK HILLIER, AUSTRALIA

Australia terkenal kerana landskapnya yang menarik dan hidupan liar yang mengagumkan. Salah satu bentuk muka bumi semula jadinya yang paling menarik ialah Tasik Hillier. Pada 2016, para saintis telah menemui sebuah tasik yang mempunyai warna merah jambu yang luar biasa. Tasik ini juga sangat masin dan merupakan tempat yang dilindungi

11. SUNGAI POKOK, ICELAND

Iceland terkenal kerana terdapat banyak kehebatan alam semula jadinya. Sungai pokok menyerupai cabang dan ranting pokok gergasi yang mengalir ke laut. Rupa bentuk ini disebabkan oleh sejenis tanah liat khas yang bertukar menjadi coklat dan likat apabila larut ke dalam air. Kerana air lebih berat daripada air laut, ia membentuk anak-anak sungai yang menakjubkan menyerupai pokok.


12. REFLECTION CANYON, UTAH, USA

Utah menawarkan beberapa pemandangan paling menakjubkan di dunia. Reflection Canyon merupakan sebutir permata. Di sepanjang 15.7 batu, ia adalah landskap yang cantik dengan pemandangan yang berwarna-warni, ngarai ini cantik terukir dengan imejnya terpantul dalam air yang bersih. Ia juga mempunyai salah satu laluan pelancongan yang paling berbahaya di negara ini. Tidak ada jalan raya, jadi akses hanya dengan bot atau helikopter.


Kenikmatan hidup dapat kita rasakan apabila kita menyadari betapa warna warni keindahan yang tercipta di dunia merupakan Maha karya dari penguasa alam.

Sungguh apa yang engkau perlihatkan tentang keindahan alam beserta kebaikan yang terkandung adalah kebenaran yang datang dari Mu.

Alam tidak hanya menyuguhkan keindahan, tapi juga menyimpan banyak misteri yang melahirkan rasa takut. Namun bagi para petualang, ketakutan harus dihadapi.

Keindahan alam mampu menghantarkan daya imajinasi kita ketahap yang tak mungkin menurut akal, ditemani secangkir kopi menghangatkan suasana pagi ceria.





2 Mei 2020

Zafrul saran bank lupus faedah terakru dalam tempoh 6 bulan penangguhan

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini menyarankan agar semua institusi kewangan khususnya yang terbabit dalam moratorium untuk mempertimbang bagi melupuskan kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) sepanjang tempoh enam bulan skim berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan sedia untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan itu.

Kenyataan beliau itu dibuat berikutan timbulnya kekeliruan umum mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

"Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat," katanya menerusi catatan terbaharunya di laman Facebook beliau, hari ini.

Susulan itu, pihak BNM pada 1 Mei, 2020 menerusi laman sesawangnya telah menyiarkan kenyataan 'Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap' yang dikemaskini.

Tengku Zafrul menjelaskan di bawah Akta Bank Negara 2009, isu mengenai moratorium berada di bawah bidang kuasa BNM dan bank pusat itu juga mengadakan sidang media untuk menjelaskan kekeliruan yang dihadapi peminjam.

"Sejak kebelakangan ini, media massa dan netizen banyak menimbulkan persoalan mengenai isu ini. Untuk makluman, memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru atau faedah dikompaun atas pinjaman.

"Namun ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman... setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium," katanya.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

Malah, tegas beliau, kerajaan sentiasa peka terhadap cetusan hati nurani rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40 serta mengambil berat mengenai perkara itu.

"Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak Covid-19, saya amat berharap pandangan (mengenai saranan) ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara.

"Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita," katanya.

Sumber - BERNAMA


%%%%%%%%%%%%%%
>>> eBazar Ramadhan LKMB <<<

1 Mei 2020

Teks Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Pekerja

Pertamanya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di Malaysia.

Pada tahun ini ketibaan Hari Pekerja tidak disambut seperti biasa. Tiada perhimpunan besar diadakan dalam situasi semasa penularan wabak COVID-19. Selain itu, kebetulan pula Hari Pekerja tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan.

Dengan trend kes dunia sedia ada, wabak COVID-19 dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat.

Walaupun tiada sambutan Hari Pekerja 2020 peringkat kebangsaan pada tahun ini, sumbangan dan pengorbanan para pekerja sektor awam dan swasta selama ini amat dihargai oleh pihak Kerajaan.

Bermula 18 Mac yang lalu, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Ini pertama kali dalam sejarah, kerajaan menguatkuasakan perintah seumpama ini.

Dalam tempoh ini, bekerja dari rumah dan duduk di rumah merupakan pengorbanan besar para pekerja dalam membantu Kerajaan menangani penularan COVID-19.

Disiplin kita untuk duduk diam-diam di rumah atau bekerja dari rumah setakat ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Pertama, kita telah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19.

InsyaAllah kita mempunyai sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian yang mencukupi seandainya kadar jangkitan meningkat semula.

Kedua, kita perlu terima hakikat bahawa dalam bulan-bulan mendatang ini, adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar dalam jangkitan COVID-19. Yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan COVID-19, jangan kita alpa. Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut atau face mask di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala.

Ketiga, kita mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah. Ini juga adalah hasil usaha kerjasama saudara-saudari yang amat berdisiplin. Teruskan usaha ini agar kita dapat 'menghijaukan' lebih banyak kawasan terjejas secepat yang boleh.

Menurut Kementerian Kesihatan, negara kita juga telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Pertama, kawalan sempadan negara kita telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku;

Kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan;

Ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan;

Keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya;

Kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan

Keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

Alhamdulillah, pengorbanan kita sepanjang pelaksanaan PKP tidak sia-sia.

Jumlah kes-kes baharu telah menurun dengan ketara. Jumlah pesakit yang sembuh juga telah meningkat.

Penggunaan ruang-ruang katil di hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 tidak melebihi 30 peratus.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Sejak dari awal, Kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi Kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi 6 pendekatan:

Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP;

Kedua, membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi;

Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal;

Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu;

Kelima, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan; dan

Keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya 'norma baharu' atau 'new normal'.

Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.

Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.

Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja. Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.

Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara. Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.

Saya hendak sebutkan di sini bahawa negara kita rugi sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Pada masa yang sama, ramai juga yang bimbang jika PKP ditamatkan. Apa akan jadi kepada usaha kita untuk menangani COVID 19. Virus ini masih ada di luar sana. Walaupun jumlah kes-kes baharu COVID 19 semakin berkurangan, risiko peningkatan kadar jangkitan tetap ada. Ramai yang akan keluar bekerja dan bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini. Dengan itu, adakah ini bermakna wabak COVID 19 akan menular semula.

Jadi saya sedar, saudara-saudari bimbang. Saya pun bimbang juga. Dan memang telah pun berlaku di beberapa buah negara lain, apabila 'lockdown' dihentikan, jumlah kes-kes positif COVID 19 meningkat semula dengan mendadak. Ini mesti kita elakkan.

Jadi, saya telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal. Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.

Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain. Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes-kes jangkitan COVID-19.

Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

SOP ini termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.

Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana SOP ini hendak dilaksanakan. Misalnya, mulai 4 Mei, iaitu hari Isnin minggu depan, Pak Salleh boleh buka semula restoran yang ditutup.

Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah.

Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.

Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja. Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan.

Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.

Ketiganya, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran. Pelanggan yang dah bayar boleh gunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan. Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan.

Ketiganya, beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

Keempat, beli face mask. Beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai face mask setiap masa. Pak Salleh pun kena pakai face mask.

Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.

Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif COVID 19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan-pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran.

Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID 19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.

Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik.

Satu lagi contoh ialah stesen minyak. Ini penting kerana bagi pekerja yang nak balik semula bekerja, mereka dah tentu nak isi minyak kereta atau motor masing-masing. Jumlah pelanggan pasti akan bertambah. Jadi, belilah lebih banyak hand sanitizer untuk digunakan oleh pelanggan.

Syarikat-syarikat pengangkutan awam juga mesti bersedia. Sudah tentu jumlah pengguna akan meningkat. Dalam keadaan kita nak mengawal penularan COVID 19, kita mesti elakkan kesesakkan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai.

Untuk membantu mengelakkan kesesakan di stesen-stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam, saya mencadangkan supaya semua majikan melaksanakan waktu bekerja yang anjal.

Tak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu yang sama. Jadi sedikit sebanyak kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama.

Saya juga nak menasihatkan semua pengguna pengangkutan awam supaya memakai penutup hidung dan mulut. Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak COVID 19.

Jadi ambil langkah-langkah untuk lindungi diri sendiri. Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg. Sentiasa bawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu.

Di tempat kerja, majikan mesti periksa suhu badan pekerja setiap hari. Kalau suhu badan tinggi, nasihatkan pekerja supaya balik atau pergi ke klinik dengan segera. Selain itu, anda sebagai pekerja pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan sentuhan atau body contact dengan rakan sekerja yang lain.

Ini adalah antara langkah-langkah yang mesti dibuat untuk lindungi diri anda daripada jangkitan COVID 19.

Mustahil saudara-saudari boleh berkurung di dalam rumah selama-lamanya. Saudara-saudari perlu juga keluar untuk bekerja, berniaga dan membeli barang-barang keperluan harian. Yang penting jaga kebersihan diri. Jaga keselamatan dan keluar rumah hanya untuk urusan-urusan yang perlu sahaja.

Malah, walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti amalkan. Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik. Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.

Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka. Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat. Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan. Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudahlah untuk penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah.

Bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat. Mesyuarat juga digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat. Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya faham saudara-saudari agak bimbang apabila sektor-sektor ekonomi kita mula dibuka. Ramai yang akan keluar rumah untuk bekerja. Mereka akan berada di mana-mana. Di jalan raya, di stesen LRT, di stesen minyak, di dalam bas, di dalam grab, di restoran, di pasaraya dan di tempat-tempat lain. Virus COVID 19 tetap ada di luar sana dan risiko terkena jangkitan sentiasa ada. Saya pun bimbang juga.

Apapun kita jangan panik dan jangan mengalah. Saya yakin dengan kemampuan para petugas barisan hadapan kita untuk menjalankan tugas mereka membendung wabak ini.

Tetapi yang lebih penting ialah diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri. Jaga kebersihan diri kita. Jangan keluar rumah kecuali jika perlu. Patuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke tempat awam. Bawa hand sanitizer. Seboleh-bolehnya, jadikan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu.

Anda yang merupakan ketua keluarga, ketua masyarakat juga mesti memainkan peranan. Nasihat anak-anak, anggota masyarakat supaya sentiasa berhati-hati. Elakkan perkumpulan beramai-ramai di kejiranan kita.

Amalkan penjarakan sosial sebagai norma baharu dalam kehidupan. Jika berlaku kes-kes bergejala COVID 19 di tempat tempat kerja atau di kawasan perumahan saudara-saudari, cepat-cepat laporkan kepada pihak berkuasa.

Dalam memerangi COVID-19, pengesanan kontak atau contact tracing adalah sangat penting. Petugas kesihatan mesti tahu siapa yang pernah berada dekat dengan orang yang dikenalpasti positif COVID-19. Untuk memudahkan pengesanan kontak, kerajaan telah mewujudkan applikasi MySejahtera dan MyTrace. Saya harap anda semua yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu. Ini adalah tanggungjawab kita semua.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan juga ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada para petugas barisan hadapan kita – doktor, jururawat, polis, tentera, anggota RELA, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta.

Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC.

Sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini, saya ingin mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuatkuasa. Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja dalam tempoh PKP.

Panduan ini boleh dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia. Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.

Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

Besarlah harapan saya agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak COVID-19. InsyaAllah, kita pasti menang.

Akhir kata, saya ucapkan "Selamat Hari Pekerja 2020" kepada semua warga pekerja di Malaysia.

10 Catatan Paling Popular

Kategori

Covid-19 (33) Tun M (18) 1MDB (15) Najib (15) PKP (15) Tan Sri Muhyiddin Yassin (11) Datuk Seri Ismail Yaakob (7) PDRM (7) PH (7) Perdana Menteri (7) Anwar Ibrahim (6) Polis (6) UMNO (6) Ekonomi (5) Kerajaan (5) Rosmah (5) SPRM (5) Bantuan Kerajaan (4) Corona Virus (4) PPBM (4) Perintah Kawalan (4) Zahid (4) kesihatan (4) Equanimity (3) Ismail Sabri Yaakob (3) Jho Low (3) Ketua Polis (3) Lim Guan Eng (3) Majistret (3) PAS (3) PKPB (3) PKPD (3) PKR (3) Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (3) Tommy Thomas (3) ATM (2) Astro Awani (2) BN (2) Bazar Ramadhan (2) Bomba (2) CPRC (2) Corona (2) DAP (2) DUN Sungai Kandis (2) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (2) DiJamin (2) GST (2) Global (2) Hal Rakyat (2) Hilang Pekerjaan (2) Jabatan Perangkaan Malaysia (2) Jokowi (2) KWSP (2) Ku Li (2) Kuala Lumpur (2) MEIO (2) Mahkamah (2) Mahkamah Kuala Lumpur (2) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (2) Majikan (2) Malaysia (2) Menang (2) Menteri (2) Menteri Kanan (2) Muhammad Adib (2) PARTI BERSATU (2) Pakatan Harapan (2) Peguambela (2) Pemulihan (2) Penganalisa Ekonomi (2) Pengangguran (2) Penjana (2) Perintah Kawalan Pergerakan (2) Presiden (2) SRC International Sdn Bhd (2) SST (2) Tentera (2) Virus (2) iLestari (2) kematian (2) penjara (2) zon merah (2) AMCHAM (1) ARMADA (1) Abdul Hamid Bador (1) Ahmad Zahid (1) Akaun 2 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (1) Alibaba (1) Ambil Alih Kuasa (1) Amerika Syarikat (1) Angkatan Tentera Malaysia (1) Awang Azman Awang Pawi (1) Azmin Ali (1) B40 (1) BKKM (1) BN Kalah (1) BNM (1) BR1M (1) Badrulhisham (1) Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (1) Bahasa Melayu (1) Barang Kemas (1) Batal (1) Bazar (1) Belanjawan 2019 (1) Cameron Highlands (1) China (1) DUN (1) Daniel Wilkinson (1) Dasar Pendidikan Kebangsaan (1) Datuk Abdul Halim Mansor (1) Datuk Abdul Rahim Bakri (1) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (1) Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (1) Datuk Hajiji Noor (1) Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (1) Datuk Seri Anifah Aman (1) Datuk Seri M Saravanan (1) Datuk Seri Mohamad Hasan (1) Datuk Shamsuddin Bardan (1) Datuk Syed Zaid Albar (1) Debat Umno (1) Dewan Rakyat (1) Dibekukan (1) DoJ (1) Dr Jemilah Mahmood (1) Dunia (1) FRU (1) George Varughese (1) Goh Ching Yin (1) Gopal (1) Hal Ehwal Agama (1) Hari Pekerja (1) Hasanah (1) Hassan Marican (1) Hishammuddin (1) Hong Kong (1) ICU (1) IMF (1) Imej (1) Indonesia (1) Islam (1) Jabatan Imigresen Malaysia (1) Jack Ma (1) Jamal Jamban (1) Jen Tan Sri Affendi Buang (1) John Ashcroft (1) KJ (1) KKM (1) KPDNHEP (1) KPDNK (1) KWAP (1) Kabinet Malaysia Baru 2018 (1) Kalah (1) Kampung Dato' Ibrahim Majid (1) Kawasan Panas (1) Kecoh (1) Kegawatan (1) Keliru (1) Kemelesetan (1) Kementerian Kewangan Malaysia (1) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (1) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (1) Kementerian Sumber Manusia (1) Kemiskinan (1) Kerjasama (1) Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (1) Ketua Hakim Negara (1) Ketua UMNO (1) Khairy (1) Khairy Jamaluddin (1) Khazanah Nasional Malaysia (1) Kimanis (1) Kingdom of God (1) Koroner (1) Kota Damansara (1) Kristian (1) Kuasa Diri (1) Kuil (1) Kuil Sri Maha Mariamman (1) LGE (1) Laketown Resort (1) Liberal (1) MB Terengganu (1) MITI (1) MKN (1) MOF (1) MSC (1) MTUC (1) Macau (1) Majlis Keselamatan Negara (1) Manifesto (1) Mansuh (1) Masjid Jamek Sri Petaling (1) Maszlee Malik (1) Mazlan Lazim (1) Melayu (1) Menteri Hal Ehwal Ekonomi (1) Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) (1) Methodist Church (1) Mohd Soffi Abd Razak (1) Muafakat Nasional (1) Mukhriz (1) Mustapa Mohamed. (1) Mustapha Yaakub (1) Naratif Malaysia (1) Othman Mahmood (1) PKPP (1) PM (1) PN (1) PRK (1) PRU (1) PRU-14 (1) PRU14 (1) Paling Teruk (1) Panglima (1) Panik (1) Patuhi (1) Pelabuhan Klang (1) Pembangkang (1) Pendakwaraya (1) Penjara Sungai Buloh (1) Penjawat Awam (1) Penyokong UMNO (1) Peraturan Mesyuarat 4 (1) (1) Perintah Kawaln Pergerakan (1) Perkeso (1) Perubahan (1) Perutusan (1) Phuket (1) Piagam (1) Plaza Tol Duta (1) Presiden Kesatuan Oxford (1) Punca (1) Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (1) Rais Yatim (1) Rampasan (1) Richard Malanjum (1) Rofiah (1) Rumah Terbuka AidilFitri (1) SC (1) SOP (1) SPR (1) Shad Saleem Faruqi (1) Shanghai (1) Sholat (1) Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) (1) Sinar Harian (1) Soffian (1) South China Morning Post (1) Subromaniam (1) Sukhdave Singh (1) Sulaiman (1) Sulit (1) Surat CIA (1) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (1) Syed Hamid (1) TPM (1) Taiwan (1) Tan Sri Abdul Hamid Bador (1) Tan Sri Annuar Musa (1) Tangkap (1) Teknologi (1) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (1) Timbalan Menteri (1) Timbalan Pengerusi SPR (1) Tok Mat (1) Topeng Muka (1) Tutup (1) Undi Tidak Percaya (1) Ustaz Azhar Idrus (1) Veteran (1) YAB (1) Yang Di Pertua Dewan Rakyat (1) Yayasan Keluarga (1) Zawawi Ahmad Mughni (1) apartments (1) arak (1) awan (1) balik kampung (1) bantuan (1) belanjawan (1) beras (1) black area (1) bubar (1) bujur (1) bulat (1) buruh (1) cukai 2018 (1) dibenarkan (1) disorok (1) eBazar (1) eksport (1) empangan (1) forum (1) gaji pekerja (1) geiser (1) haiwan peliharaan (1) harimau (1) import (1) industri (1) industri kecil dan sederhana (IKS) (1) inkues (1) jangkitan (1) jurang (1) kastam (1) kemelselatan ekonomi (1) kewangan (1) kolam (1) kos guaman (1) kucing (1) kuman (1) mabuk (1) makanan (1) masayarakat (1) meow (1) moratorium (1) mysejahtera (1) pak belang (1) pasar borong KL (1) pecah amanah (1) peguam (1) pejabat buruh (1) pelangi (1) penyakit kronik (1) peribahasa (1) potong gaji (1) premis (1) ramdhan (1) rentas neger (1) sahabat (1) sosial (1) sukarelawan (1) tabligh (1) tak nak PH (1) tampung (1) tasik (1) task force (1) tindakan (1) tower regency hotel (1) tumbang (1) upah gaji (1) veterinar (1) wabak (1)