SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menafikan dakwaan jumlah stok beras negara hanya mampu bertahan selama dua setengah bulan tidak benar, sebaliknya keadaan stok semasa beras tempatan yang berada di peringkat kilang, pemborong dan peruncit masih stabil, terkawal serta konsisten dengan bekalan sebanyak 523,000 tan metrik, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Beliau memberi jaminan, jumlah stok semasa beras dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten untuk menampung keperluan dalam negara secara berterusan.
“Buat masa ini, import beras juga tidak terjejas dan berjalan seperti sedia kala. Selain negara Vietnam, beras turut diimport dari negara-negara pengeluar lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Cambodia dan lain-lain.
“Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga diarahkan untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Kiandee berkata, kebergantungan kepada beras import hanya 30 peratus daripada keseluruhan keperluan dalam negara.
Kementerian juga akan terus memantau bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 tan metrik.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan keadaan stok beras dalam negara, katanya.
