SHAH ALAM - Punca kematian anggota bomba dan penyelamat (JBPM), Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. Mohd Adib, 24, cedera parah ketika bertugas dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November lalu.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat. Berikut langsung daripada pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Berikut kronologi keputusan inkues hari ini berlangsung.
7 pagi:
Pekarangan kompleks mahkamah tenang dan terkawal. Laluan ke mahkamah koroner diletakkan penghadang.
8 pagi:
Sebahagian peguam keluarga Muhammad Adib, Yahya Othman tiba.
8.45 pagi:
Ketibaan tunang Allahyarham Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25. Nurul Najihah berbaju kurung tiba dengan ditemani seorang wanita, memasuki mahkamah. Ini kali pertama beliau hadir di Mahkamah Koroner bagi perbicaraan inkues kematian tunangnya.
8.46 pagi:
Abang sulung arwah, Mohd Asraf Mohd Kassim tiba
8.50 pagi:
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis tiba bersama pegawai kanan.
8.55 pagi:
Ketibaan Saksi keenam, Mohd Hazim Mohd Rahimi, 31
9.20 pagi:
Pihak-pihak berkepentingan mula mengambil tempat di dalam galeri awam. Mahkamah dijangka bersidang pada bila-bila masa.
9.51 pagi:
Koroner Rofiah Mohamad mengambil tempat. Keputusan akan dibacakan.
9.52 pagi:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tiba sambil diiringi anggota polis. Zuraida tiba sejurus Koroner Rafiah Mohamad mengambil tempat bagi membacakan keputusan.
10.14 pagi:
Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.
"Saya merumuskan bahawa
kecederaan lung chest trauma yang
dialami Muhammad Adib adalah
bukan perbuatan diri," katanya.
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah disebabkan perbuatan jenayah daripada lebih dua orang yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas meneliti dan menilai keterangan 30 saksi yang dipanggil sepanjang inkues.
Rofiah dalam keputusannya berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.
Menurutnya, saksi itu juga memberitahu, Muhammad Adib sekali lagi ditarik dan perusuh kemudian menerajang pintu EMRS yang mengenai tangannya hingga menyebabkan luka seret.
"Oleh itu, teori terpelanting yang dikemukakan saksi ke-24, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi ditolak sepenuhnya," katanya sebentar tadi.
Rofiah turut memberitahu, kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Sementara itu, di akhir keputusannya, Rofiah menyerahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara untuk teruskan siasatan dan menjalankan pendakwaan sekiranya wajar.
Polis akan meneruskan siasatan dan memburu individu-individu yang bertanggungjawab memukul sehingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu, pihaknya akan melakukan tindakan susulan mengikut keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengenakan tuduhan ke atas sesiapa yang terlibat dalam kes itu.
"Daripada keputusan Mahkamah Koroner hari ini, kita akan ambil tindakan dengan menjalankan siasatan dan cari siapa yang bertanggungjawab yang dikatakan membunuh (Muhammad Adib)," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini, hari ini.
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat dua atau lebih individu yang tidak dikenali yang menyalahi undang-undang.
Koroner Rofiah Mohamad merumuskan anggota bomba tersebut dipukul oleh sekumpulan lelaki berketurunan India dan rumusan demikian adalah berdasarkan keterangan saksi, S. Narresh yang berada di tempat kejadian.
Selain itu, Mahkamah Koroner juga menyatakan kegagalan pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal kejadian rusuhan pada malam 27 November 2018 itu turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Jelas Rofiah, tindakan dua pasukan polis dan FRU yang hanya duduk dalam kenderaan dan menunggu arahan ‘adalah tidak munasabah’.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pihak polis dan FRU yang dikatakan gagal mengawal kejadian pada malam rusuhan itu, Abdul Hamid berkata, hal demikian adalah mengenai siapa pegawai pemerintah pada hari kejadian itu.
"SOP (prosedur operasi standard) sudah ada, tidak perlu diubah dan kalau perlu pun boleh disemak mengapa SOP tidak diikuti. Siapa pegawai pemerintah pada masa itu, itu yang penting.
"Warga PDRM ini bersedia untuk bekerja, tapi kalau komandernya tidak beri perintah, mereka (anggota) tidak keluarlah atau mereka tidak buat kerja. SOP sudah ada, saya tidak nampak SOP perlu diubah dalam perkara ini," katanya.