KUALA NERUS - Pergerakan Pemuda UMNO tetap percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan begitu mudah.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki |
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki menegaskan, beliau yakin Anwar tidak akan dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan selepas Mahathir.
Ini kerana jelasnya, sehingga sekarang Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum menarik balik tuduhannya terhadap Anwar sebagaimana ditulisnya di dalam bukunya bertajuk Doctor In The House.
Asyraf Wajdi berkata, beliau sekali lagi mengulangi cabarannya kepada Mahathir agar menarik balik tuduhan bahawa Anwar tidak layak menjadi pemimpin kerana masalah moral.
“Kami tunggu reformasi 2.0 bakal dilancar oleh Anwar Ibrahim sebab saya percaya Mahathir tidak akan serahkan kerusinya (Perdana Menteri) kepada Anwar kerana saya pernah cabar (Mahathir) dan saya nak ulangi cabaran saya ini.
“Hari ini saya cabar, perkara pertama kalau Mahathir benar-benar ikhlas nak beri kerusi Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, saya cabar untuk tarik balik tuduhan beliau yang ditulisnya sendiri dalam bukunya ‘Doctor In The House’ yang mengatakan Anwar tak layak jadi pemimpin kerana masalah moral, akhlak yang berkait rapat dengan liwat dan sebagainya,” katanya.
Asyraf Wajdi menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Dewan Serba Guna Tok Jembal pada 3 Ogos.
Yang hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera serta kepemimpinan UMNO Kuala Nerus diketuai Ketua Bahagian itu, Mohd. Apli Yusof.
Asyraf Wajdi diminta mengulas isu kedudukan jawatan Perdana Menteri kelapan yang dikatakan bakal diserahkan oleh Mahathir kepada penggantinya, Anwar.
Beliau seterusnya berkata, Pemuda UMNO juga meramalkan akan tercetus reformasi 2.0 berikutan perkembangan politik antara Mahathir dan Anwar yang disifatkannya satu ‘sketsa’.
Justeru itu, katanya, pergerakan Pemuda itu sedia menunggu sehingga selesai ‘sketsa’ antara kedua-dua pemimpin tersebut. - UTUSAN ONLINE