KUALA LUMPUR : Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent, peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor, menyatakan anak guamnya langsung tidak terlibat dalam operasi syarikat pelaburan dana negara iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dilaporkan Wall Street Journal (WSJ).
Laporan WSJ yang memetik sumber mendakwa isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu adalah individu utama dalam dakwaan penyelewengan 1MDB.
“Kami ingin mengulangi bahawa anak guam kami (Rosmah) tidak mempunyai kaitan atau peranan secara langsung dan tidak langsung dengan operasi harian syarikat berkenaan, lebih-lebih lagi pengurusan kewangan atau mereka yang dilantik untuk mengawasi firma guaman itu.
“Sebagai isteri kepada perdana menteri ketika itu, Rosmah tidak terbabit dengan keputusan dibuat Najib,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, Rosmah menjauhkan diri daripada perkara dikendalikan Najib dan tidak pernah mempengaruhi beliau dalam apa juga keputusan dibuat pihak eksekutif.
“Oleh itu, mengaitkan Rosmah secara terus dengan 1MDB serta menimbulkan tuduhan terhadapnya, kami bimbang itu adalah usaha bagi mempengaruhi hasil siasatan yang sedang dijalankan dan paling teruk, untuk merosakkan imej beliau.
“Rosmah akan terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkara ini,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, Rosmah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat isu tersebut.
Laporan @ Nigna2018