Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu bersedia mengambil alih fungsi melindungi kepentingan orang Melayu dan institusi agama Islam, namun tidak akan berkelakuan seperti Umno.
"Bagaimana sekian lama mereka percaya perlindungan yang datangnya daripada parti UMNO saja tetapi saya beri pengakuan bahawa Parti Pribumi (PPBM) ini akan menjadi pelindung mengganti parti UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM 2018 peringkat kebangsaan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) tempohari.
Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi jaminan PPBM tidak akan berkelakuan seperti UMNO, yang dulu adalah sebuah parti dihormati, dimuliakan tetapi apabila sudah menjadi pemerintah sekian lama, mereka lupa bahawa mereka ditubuh untuk perjuangan bangsa, agama dan negara.
"Sebaliknya, di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Razak), UMNO menjadi sebuah parti yang hanya fikir duit ringgit bagi diri mereka saja, inilah yang berlaku sehingga ramai daripada orang UMNO keluar daripada UMNO untuk menyertai parti-parti lain," katanya.
Menurutnya, Umno dahulu merupakan sebuah parti dihormati dan dimuliakan, namun apabila sudah lama menjadi pemerintah negara, mereka lupa fungsi sebenar parti itu ditubuhkan untuk perjuangan melindungi bangsa dan agama.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin ahli UMNO sedar dan menerima hakikat sebenar bahawa UMNO sudah menjadi alat kepada seorang bekas Presiden dan mereka akan meninggalkan parti yang sudah dihancurkan oleh pemimpin mereka sendiri.
Tambah lagi, beliau yakin PPBM akan menjadi sebuah parti yang lebih besar dan kuat dalam PH selepas ini, termasuk melalui sokongan yang ditunjukkan dengan kehadiran begitu ramai rakyat pada majlis rumah terbuka parti itu dan banyaknya bendera parti yang dipasang hari ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut berterima kasih kerana PH memberi peluang pemimpin PPBM memegang jawatan Perdana Menteri berkata, hasrat memperkuatkan parti bukan bermakna PPBM mahu bersaing atau berlawan dengan parti lain dalam pakatan itu, sebaliknya penting untuk dilihat sebagai sebuah parti yang kuat dan besar serta menjadi sebuah parti yang akan diyakini lagi dipercayai oleh rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Malaysia sebuah negara bertuah kerana rakyatnya yang berbilang kaum dapat meraikan perayaan masing-masing dalam keadaan aman seperti sambutan Aidilfitri yang turut diraikan pelbagai kaum.
"Kita terima hakikat negara kita berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya tetapi umumnya negara kita ini negara aman dan selesa bagi semua rakyat tak kira bagi apa juga kaum dan agama.
"Sebaliknya di negara lain, apabila ada sedikit kelainan berlaku saja mereka sudah berperang, membunuh dan merosakkan negara mereka," katanya yang turut gembira kerana tiada rusuhan berlaku.
Beliau berkata, negara ini sudah memberi banyak nikmat kepada rakyatnya dan kerajaan akan terus berusaha supaya semua kaum akan menikmati segala kekayaan negara bersama tanpa melakukan perbuatan merampas.
"Di Malaysia, kita akan berkongsi kekayaan dengan cara yang baik, berurusan dengan baik supaya dapat mengurangkan perbezaan antara kaum supaya negara kita terus aman dan selamat kepada semua rakyat berbilang kaum," katanya.
Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM itu menyaksikan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sejak pagi hari ini, yang tidak mahu ketinggalan menikmati pelbagai hidangan disediakan seperti lemang, rendang, laksa, bihun sup dan lain-lain.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden PPBM merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PPBM yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi Badan Pimpinan PPBM Perak yang juga Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; beberapa Menteri Kabinet serta pimpinan PPBM pusat serta negeri yang lain.
Sumber Laporan : Internet
Nigna@2018
Sumber Laporan : Internet
Nigna@2018