KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan empat pertuduhan iaitu tiga pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta berhubung syarikat SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini.
Bagi pertuduhan PERTAMA, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, Advisor Emeritus SRC dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM27 juta. Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan KEDUA, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM5 juta di tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan KETIGA, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.
Bagi pertuduhan KEEMPAT, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC. Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012. Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. SRC ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Kes ini, buat kali pertama tercatat sebagai sejarah negara, bekas Perdana Menteri ditahan dan dituduh di Mahkamah Tertinggi Kuala Lumpur. Najib diwakili tujuh peguambelanya yang terdiri daripada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan, Muhamad Farhan Muhamad Shafee dan Syahirah Hanapiah.
Pasukan pendakwaan terdiri daripada 12 orang, diketuai oleh Tommy Thomas, dibantu Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Shuhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusof, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak mencadangkan 19 hari perbicaraan kes itu pada tahun depan, dari 18 hingga 28 Februari 2019, 4 hingga 8 Mac 2019 dan 11 hingga 15 Mac 2019, di mana sebarang perubahan tarikh akan dilakukan bulan depan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta dikenakan terhadap Najib dan dengan dua orang penjamin serta beliau perlu menyerahkan pasport diplomatik dan pasport awam.
Selain itu mahkamah juga membenarkan bahawa bayaran itu dibuat secara ansuran iaitu dibayar hari ini dan pada Isnin depan.
Prosiding pendakwaan Najib berakhir pada jam 12.42 tengah hari dan dua anaknya, Norashman dan Nooryana Najwa membayar jaminan itu.
Kronologi pendakwaan Datuk Seri Najib Razak
5.00 pagi - Petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
6.30 pagi - Polis membawa Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM bagi menambah keselamatan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
7.00 pagi - Petugas media dibenarkan masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Lebih 100 penyokong bekas Perdana Menteri mula berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
7.25 pagi - Tujuh kenderaan dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) memasuki perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
7.37 pagi - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibawa keluar dari bangunan ibu pejabat SPRM menaiki kenderaan Proton Inspira berwarna merah diiringi beberapa kenderaan polis.
8.00 pagi - Polis mengambil alih tugas mengawal keselamatan bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur daripada polis bantuan.
8.15 pagi - Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama beberapa penyokong.
8.20 pagi - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
8.30 pagi - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibawa masuk ke kamar Mahkamah Sesyen Jenayah untuk pertuduhan. Datuk Seri Najib Razak diiringi pasukan peguam belanya yang diketuai, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Kedua-dua anak Datuk Seri Najib Razak, Ashman dan Nooryana Najwa hadir memberi sokongan dan memasuki ke bilik mahkamah.
8.40 pagi - Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan memasuki kamar mahkamah.
9.10 pagi - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan tuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
9.19 pagi - Tiga tuduhan pecah amanah jenayah dibacakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
9.27 pagi - Satu lagi tuduhan dibacakan terhadap Datuk Seri Najib Razak mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya. Tiada pengakuan direkodkan daripada Datuk Seri Najib Razak. Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
10.00 pagi - Prosiding terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 selesai.
10.30 pagi - Datuk Seri Najib Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk direkodkan pengakuan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.
10.46 pagi - Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan ke atasnya dan memohon untuk dibicarakan.
11.52 pagi - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan jaminan sebanyak RM 1 juta dengan dua orang penjamin dan Datuk Seri Najib Razak perlu menyerahkan pasport diplomatik dan pasport awam. Bayaran jaminan boleh dibuat secara ansuran sebanyak dua kali.
12.00 tgh - Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon perintah menghalang media membuat laporan salah atau spekulasi berhubung saksi dalam kes pecah amanah dan rasuah membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
12.18 tgh - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan perintah larangan sementara bagi menghalang media daripada membuat komen berhubung merit dan saksi.
12.30 tgh - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 Ogos ini untuk pengurusan kes pecah amanah dan rasuah Datuk Seri Najib Razak. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 18 Februari tahun depan bagi sebagai hari pertama perbicaraan.
13.00 tgh - Kekecohan berlaku apabila penyokong Datuk Seri Najib Razak melaungkan bahasa Malaysia ketika Peguam Negara Tommy Thomas mula memberikan sidang media.
13.15 ptg - Polis memberi amaran kepada penyokong Datuk Seri Najib Razak supaya tidak membuat sebarang provokasi atau berdepan tindakan ditahan.
14.30 ptg - Peguam Negara, Tommy Thomas membuat sidang media di tingkat lima Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung kes pendakwaan Datuk Seri Najib Razak. Dua anak bekas Perdana Menteri, Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib membayar jaminan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak.
15.00 ptg - Peguam,Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media.
15.30 ptg - Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas diikat jamin dan pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta.
Sumber Laporan : Internet
Nigna@2018